Friday, July 26, 2013

SPECIAL PLACE AT KELANTANESE ( PASAR )



PASAR BESAR SITI KHADIJAH




 Pasar Besar Siti Khadijah ialah pasar basah yang terletak di tengah-tengah pusat bandaraya Islam Kota Bharu. Sebagai pasar basah seperti biasa, ianya menjual ikan basah seperti ikan selar, tamban, terubuk, tenggiri, tongkol(namun di negeri Kelantan ianya lebih dikenali sebagai ikan Ayo), bawal, kembung, kerisi dan lain-lain lagi. Terdapat juga di pasar ini ikan-ikan air tawar iaitu ikan haruan, keli, belut dan lain-lain lagi. Kita juga boleh membeli daging ayam, daging lembu, telur dan bermacam-macam jenis sayur-sayuran seperti kobis, kacang panjang, cili, terung, bunga kobis,buah petola(namun di Kelantan sayur/buah petola dikenali sebagai buah ttene), bendi(di Kelantan ianya dipanggil kacang miyur), daun serai(batang), daun salad dan bermacam-macam lagi. Pasar ini juga menjual buah-buahan terutamanya buah-buahan tempatan seperti buah ciku, jambu batu, nangka, berbagai jenis mangga, binjai, cempedak, limau, durian, manggis, tembikai, kedondong, langsat, betik, nenas, duku, berbagai jenis buah pisang, belimbing dan berbagai-bagai lagi. Kita juga boleh mendapatkan bebrapa jenis buah asing seperti buah tamar, anggur, laici, mata kucing, epal, limau mandarin(sewaktu perayaan Tahun Baru Cina). Juga pasar ini menjual makanan tempatan seperti kuih-muih iaitu dodol, baulu, kuih bangkit, karipap, tapai, seri muka, onde-onde, kuih lapis, tepung talam(tepung boko). Pasar ini juga menyediakan tempat untuk membasahkan tekak, iaitu tempat menjamu selera, terutamanya sekira anda teringin memakan makanan tempatan tertentu. Sebagai peringatan kepada pengunjung dari luar Kelantan yang kurang biasa minum minuman seperti teh panas, teh ais, adalah dimaklumkan di sini minuman di sini lebih manis daripada biasa anda minum di Pantai Barat atau pun Terengganu dan Pahang. Jadi lebih baik anda memaklumkan terlebih dahulu(sekiranya anda tidak suka kepada minuman yang manis) kepada pembancuh air agar mengurangkan kadar gula sebelum memesannya. Selain daripada itu, sudah tentulah anda boleh mendapatkan makanan jati Kelantan yang amat susah untuk diperolehi di tempat luar dari negeri Kelantan, seperti kuih ladu(bentuknya seperti kiub kecil yang diselaputi tepung gandum dan diperbuat daripada tepung beras dan lada hitam, yang biasanya dimakan oleh perempuan lepas bersalin, namun boleh dimakan oleh sesiapa sahaja yang menggemarinya tanpa sekatan, asalkan tidak kisah dengan sedikit kepedasan lada hitamnya), lebung buaya. Ada sejenis lagi kuih yang dibuat daripada beras pulut yang diwarnakan hijau, pada luarannya sepanjang dua inci, ditaburi kelapa parut dan digulung, di mana pada sebelah dalamnya adalah pisang yang direbus. 



WAKAF CHE YEH






SETIAP malam terutama menjelang tengah malam, kebanyakan jalan di sekitar Kota Bharu, Kelantan lazimnya lengang daripada kenderaan yang lalu lalang.
Bagaimanapun, setiap kali melalui Kilometer 7 Jalan Kota Bharu - Kuala Krai kesesakan masih berlaku. Malah kadang-kadang ia berlanjutan sehingga pukul 2 pagi.
Semuanya kerana daya tarikan pada pasar Wakaf Che Yeh yang menjadi simbol perniagaan dan budaya kehidupan penduduk, menjadikan ia tidak pernah lekang daripada pengunjung.
Malah, setiap kali musim cuti sekolah, pengunjung yang datang selepas pukul 8 malam mungkin hanya bernasib baik jika berjaya mendapat petak meletak kenderaan berhampiran dengan pasar tersebut.
Ada yang menggelar Wakaf Che Yeh sebagai 'pasar yang tak pernah tidur' kerana pada waktu pagi ia pasar basah manakala pada waktu malamnya pula, ia berubah wajah menjadi pusat beli-belah yang menjual pelbagai jenis barangan termasuk pakaian, aksesori badan dan pelbagai jenis makanan serta buah-buahan.
Kemeriahan yang wujud di pasar itu menjadikan ia tempat meluangkan masa bersama keluarga pada waktu malam buat penduduk di negeri ini.
Bagi masyarakat tempatan, mereka mungkin sekadar berjalan-jalan dan 'mencuci mata' melihat pelbagai jenis barang jualan yang dipamerkan untuk pilihan.
Tetapi kepada pengunjung yang jarang datang ke Kota Bharu, Wakaf Che Yeh adalah tempat yang 'wajib' dilawati. Jika mempunyai kecekapan dalam tawar-menawar, barang yang boleh dibeli mungkin banyak berbekalkan modal sedikit.
Seorang pengunjung tempatan yang ditemui, Munirah Rashid, 30, berkata, hampir setiap malam dia akan meluangkan masa sekurang-kurangnya sejam mengunjungi pasar tersebut.
"Memang kalau boleh setiap malam saya bersama suami dan anak-anak akan datang ke sini. Selalunya beli barang tetapi kadang-kadang sekadar bersiar-siar.
"Bukan sekadar keluarga saya malah jiran-jiran juga macam itu. Memang seronok setiap kali melihat telatah para penjual serta pembeli yang datang dari seluruh pelosok Malaysia," katanya kepada S2 baru-baru ini.
Munirah yang berasal dari Kampung Tiong di sini berkata, selain membeli barang, Wakaf Che Yeh juga menjadi pilihan utama keluarganya menjamu selera memandangkan banyak kedai makan menjual pelbagai jenis hidangan di situ.
Seorang lagi pengunjung, Ghazali Awang, 56, ketika ditemui di pasar itu berkata, pasar tersebut memberi peluang kepadanya berjalan-jalan selepas penat urusan kerja seharian.
"Saya datang ke negeri ini sebab ada kerja. Jadi kebetulan ada peluang saya pun singgah di sini, mana tahu ada barang yang boleh dibeli," katanya.
Sementara itu, bagi seorang peniaga buah-buahan, Robiah Musthapa, 34, kemeriahan di Wakaf Che Yeh bermula sejak sekitar 2000 ketika ia dikenali sebagai pasar borong.
"Mula-mula pasar borong, kemudian ada penjual yang buka kedai sampai pukul 10 malam kerana ramai pengunjung masih datang untuk membeli barang.
"Akhirnya ada peniaga yang mula membuka gerai dan menjual pelbagai jenis barang selain bahan makanan sehinggalah hari ini ia menjadi tumpuan utama di daerah ini," katanya yang telah berniaga di situ sejak 10 tahun dulu.
Menurut Robiah, pasar itu akan menjadi terlalu sibuk setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri kerana ramai anak Kelantan yang balik kampung memilih berbelanja di situ.
"Kadang-kadang saya sendiri sesat di sini apabila keadaan sudah terlalu sesak," katanya.
Memang banyak pasar seperti ini di negeri lain, tetapi Wakaf Che Yeh sangat istimewa. Ia menjadi satu-satunya tempat berkunjung sehingga tengah malam di daerah ini.
Daripada kanak-kanak sehinggalah orang dewasa datang mengunjungi pasar ini.

BAHASA ORANG KELANTAN











Pertuturan bahasa harian


Bahasa Kelantan, ata istiloh laingnyo kecek Kelate merupoke bahaso ore hok duduk kak Kelate, Malaysia. Iyo, bena sungguh ni bahasonyo Tengku F**kry, hok doh tekena kak serato dunio sebak sekso Manohara, gadih Indon hok nok pulok dikawini Tengku Fakhry, padoha sokmo ore doh tau Tengku Fakhry tu jahaknyo minto ampung, rupo pong buruk lagu tu. Sebak ore Kelate ni sokmo lidohnyo pendek, ditamboh lagi kusuk pulok lidohnyo (mungking terlalu banyok make budu). Pasa tu jugok ore Malaysia hok duduk kak negeri laing susoh nok reti kecek Kelate. Apolagi ore Indon.






Saya = ambo
Aku = kawe, aku
Kamu = mu, demo
Macam = lagu
Macam mana = lagu mano, guano
Apa khabar = guano gamok
Sekarang = loning
Ini = ining, ning
Tidak ada = tadok
Apa = gapo
Mengapa = bakpo
Datang = mari
Pergi = gi
Mari, ayo = pakak
Cakap = royak
Yang = hok
Beri = bui, wi




Cara untuk belajar cakap kelantan



Nok belaja kecek Kelate ning banyok sungguh perubohenyo. Mungking kalu nok belaja kecek Kelate baru mahir sesudoh hapi mati. Gapo dio sajo perubohenyo?
Akhire -an, -ang, -am dari kecek Nayu diuboh jadi -e (makan = make, petang = pete)
Akhire -a jadi -o (saya = sayo, mana = mano)
Akhire -ai, -au jadi -a (hijau = hija, ramai = rama)
Akhire -r, -l hile (benar = bena, kapal = kapa)
Akhire -ah jadi -oh (basah = basoh, murah = muroh)
Akhire -ak jadi -ok (banyak = banyok, acak = acok)
Akhire -t, -p jadi -k (tutup = tutuk, lambat = lambak)
Akhire -s jadi -h (lepas = lepah, putus = putuh)
Akhire -n jadi -ng (turun = turung, kain = kaing)
-mp- jadi -p- (sampai = sapa, kampung = kapung)
-nt jadi -t- (lantai = lata, penting = peting)
-ngk- jadi -k- (angkat = akak, bungkus = bukuh)
-ia- jadi -e- (biasa = beso)
-ua jadi -o (suara = soro)



Sangat manis = manih leting
Sangat asin = masing peghak
Sangat pahit = paik lepe
Sangat masam = mase purik
Sangat tawar = tawa ebe
Sangat putih = putih sue
Sangat hitam = hite lege
Sangat biru = biru ketu
Sangat kuning = kuning nehe










LOGHAT Kelantan adalah merupakan antara Bahasa Melayu lisan yang digunakan oleh masyarakat di negeri Kelantan.

Ia bukan sahaja dipertururkan oleh orang Melayu Kelantan tetapi juga oleh Cina Kampung, India Kelahiran Kelantan dan orang Siam.

Walaupun di mana anak Kelantan berada, agak sukar bagi mengikis loghat atau 'bahasa budu' mereka bila bercakap.

Pelakun dan pengarah drama tv, T.S .Jeffry yang berasal dari Tendong, Pasir Mas adalah contoh Cina Kampung/Cina kelahiran Kelantan yang menguasai loghat Kelantan seperti Melayu Kelantan.

Dalam berbahasa Inggeris pun akan ada lidah Kelantan dan mudah untuk orang Malaysia tahu bahawa yang dilawan bercakap dalam bahasa Inggeris itu adalah orang Kelantan.

Loghat Kelantan juga dituturkan di Besut dan Pulau Perhentian Terengganu di samping turut ditutur di beberapa dearah di Kedah seperti Baling, Sik dan Padang Terap.

Malah orang Melayu/Thai Muslim Selatan Thai, Melayu Champa dan orang Acheh juga hampir sama loghat mereka dengan loghat Kelantan.

Tidak ada catatan sejarah yang menunjukkan ianya bermula tetapi ia pastinya pecah-pecir kepada Bahasa Melayu yang mula dituturkan sejak lebih 1,000 tahun yang lampau.

Kerana itulah ada persamaan sebutan dan maksud bagi orang Meayu bukan sahaja di luar Kelantan tetapi juga di luar Malaysia.

Bagi gantinama pertama 'ambo' dalam loghat Kelantan bagi 'saya/aku' turut menjadi ganti nama pertama bagi orang Acheh manakala 'demo' pula bagi ganti nama kedua 'awak'.

Ganti nama 'ambo' boleh bertukar kepada 'diri' atau 'kami' untuk ganti nama pertama 'saya/aku' bila penuturnya dalam keadaan marah dan bagi menunjukkan penuturnya tidak rasa gerun atau takut kepada regu lawan bercakap.

'Sekepeng' juga menjadi sebutan yang sama makna bagi loghat Kelantan dan orang Acheh yang merujuk kepada 'sen'.

Loghat Kelantan dan bahasa orang Acheh juga berkongsi sebutan dan sama makna bagi perkataan 'pitih' yang merujuk kepada 'wang'.

Pengaruh penjajahan juga menjadikan dalam loghat Kelantan ada bahasa import dan saduran, terutama bahasa Inggeris.

Umpamanya 'gustan' bagi 'go stand' atau 'undur', 'gohed' bagi 'go head' atau 'ke depan', lazimnya dikaitkan dengan kenderaan.

'Postopis' bagi 'post office' atau 'pejabat pos','merket/nneket' bagi 'market' atau 'pasar' dan lebih lazim disebut 'supermarket' bagi 'pasar raya'.

'Ebo' bagi 'hand ball' atau 'terkena tangan' merujuk kepada permianan bola, 'kona' bagi 'coner' atau 'membelok', 'eding' bagi 'heading' atau 'tandukan', 'lah' bagi 'last' atau 'akhir/penghujung'.

'Pojek/pozek' bagi 'deposit', 'suwih' bagi 'swicth' , 'istek' bagi 'estate' , 'nneja' bagi 'manager' , 'luh' bagi 'loose' dan banyak lagi.

Ada Bahasa Melayu standard yang bila disebut memberi makna lucah dan tidak sopan bagi loghat Kelantan.

Umpama 'bela' bagi 'pelihara'. 'Bela' dalam loghat Kelantan bermakna 'jimak', 'kopek' memberi makna 'payu dara/buah dada wanita', 'bujang' bermakna 'janda' atau 'pelacur', 'burit/buritan' memberi makna alat kelamin wanita.

Semasa berkunjung ke Kelantan, mereka dari keluar Kelantan hendaklah mengelak dari menggunakan perkataan-perkataan berkenaan supaya tidak dianggap 'tak reti baso' atau kurang sopan/kurang ajar.

Makna yang seerti dengan 'kopek' bagi loghat Kelantan ialah 'koyok' , yakni 'kupas' seperti kupas kulit limau dan sebagainya manakala bagi wanita yang belum kahwin/anak dara pula panggil 'anak mudo'.

Tidak ada ada panggilan khusus untuk lelaki yang belum berkahwin atau yang menduda.
Loghat Kelantan juga banyak meringkaskan perkataan. Misalnya 'dok' bagi 'tidak', atau 'bukan', 'dok eh' bagi menolak tuduhan, 'gi' bagi 'pergi', 'nga' bagi 'dengan', 'tok leh' bagi' 'tak/tidak boleh' , 'tok gi' bagi 'tak pergi' dan sebagainya.

Ada juga loghat Kelantan yang tidak ada langsung dalam bahasa Melayu standard seperti 'gon' yang bermaksud 'sewel', 'ngo' bagi yang bermaksud tidak berapa cerdik, 'bada lahun' bagi yang berperangai macam lembu kenyang/bangang.

'Gelenyar' bagi wanita yang mengada-ngata atau lelaki yang suka kacau wanita, 'gatal bian/gatal puki' bagi wanita gatal, 'kerotok' bagi rambut yang terlalu kerinting. Satu lagi perkataan seakan 'gelenyar' adalah 'geletah' dan hanya khusus untuk orang perempuan, terutama yang masih anak dara.

'Parok' bagi 'teruk', 'cepuah/kelanghin' bagi 'tidak kemas', 'dopot' bagi 'pendek', 'pandak' bagi 'pendek', 'pandak kketihk' bagi 'pendek benar', 'tupo gelebek' bagi 'tumpul benar', 'setetet' bagi 'sedikit sangat', 'ddarat' bagi kampung dan macam-macam lagi.

'Ddarat' lazimnya digunakan bagi mereka yang duduk di bandar atau pekan teapi berasal dari kampung.

Loghat Kelantan juga menggunakan sabdu untuk ringkaskan perkataan, misalnya 'mmano/nak gi mano?' bagi maksud pertanyaan nak ke mana, 'kkedai?" bagi pertanyaan nak ke kedai ke?

Ianya akan jadi jawapan bagi sesuatu pertanyaan pula. Misalnya 'bbaroh' bagi jawatan ke baruh untuk pertanyaan nak ke mana dan 'kkedai' bagi jawapan nak ke kedai.

'Ssajo' bagi hanya duduk-duduk sahaja tanpa buat apa-apa/lepak bagi jawapan kepada pertanyaan sedang buat apa atau 'ddarat' bagi jawapan balik kampung bagi pertanyaan hendak ke mana, 'dok ssorang' bagi jawapan belum kahwin kalau ditanya sudah kahwin ke belum, 'dok ssajo' bagi belum bekerja.

Loghat Kelantan juga banyak menggunakan bahasa berganda bagi menunjukkan sangat, misalnya 'kelat kacu' bagi 'kelat sangat', 'pahit lepan' bagi 'pahit sangat', 'masan reban/masan pprurit' bagi 'masam benar', 'merah meran/merah menyela' bagi 'merah benar', 'tawa ebe' bagi 'tawar benar'.

'Manis lletin' bagi 'manis benar', 'masin pperat' bagi 'masin benar', 'putih suih/putih luih/putih jelepok' bagi 'putih benar', 'biru ketu' bagi 'biru benar', 'kuning ddehen' bagi 'kuning benar'.

'Iija pekok' bagi 'hijau benar',' 'hitam llengit/hitam legan/hitam macam patat kuali' bagi 'hitam benar', 'kelabu katu' bagi 'kelabu sangat/tidak jelas', 'maha mace bedil' bagi 'mahal sangat', 'pandak/pendek kketih' bagi 'pendek sangat','tinggi llayur/kurus llayur' bagi 'tinggi sangat/kurus sangat'.

'Busuk kohong/busuk pahit' bagi 'busuk sangat', 'uduh kopeng' bagi 'hodoh sangat', 'comel lloten' bagi 'cantik sangat', 'kenye bboyih' bagi 'kenyang benar', 'gemut gedebot' bagi 'gemuk benar'.

'Sat Ggoba' bagi 'jangan bimbang', 'dan kawe adat gat' bagi 'bila saya sanggup buat', 'sat dok gege' bagi 'jangan sibuk', 'gocoh' bagi 'tumbuk', 'tenyar' bagi 'tendang', 'kadas' bagi 'bantah/halang'.

'Cendih/doge' bagi 'tendang ke arah belakang', 'nnakut' bagi 'penakut', 'nnakut ebe/nnakut banga/nnakut apas' bagi 'penakut benar', 'tak lekat unjat' bagi 'tak lekat ikrar/tak tak boleh pegang janji', 'pelawok banga/belawok' bagi 'bohong/tak tepat janji'.

'Nyaknyo' bagi 'kesian/niaya', 'gaduh/lorat' bagi 'sibuk', 'ggaduh' bagi 'terlalu cepat/tak menyempat', 'bbaloh' bagi 'bergaduh', 'ddebe' bagi 'berani', 'gedebe' bagi 'samseng', 'bbekwoh' bagi 'kenduri'.'

'Tahok/tohok' bagi 'buang', 'petkong' bagi 'lontar', 'rukah' bagi 'panjat', 'ungga' bagi 'berlari', 'cuwoh' bagi 'curah', 'tujah' bagi 'terjah', 'rohok' bagi 'payah', 'getek/etek' bagi 'juga/lagi', 'tepoh' bagi 'langgar', 'tubik' bagi 'keluar', 'pong' bagi 'ampu', 'genyih' bagi 'tenyih', 'berolok' bagi 'berombak kecil'.

'Rokrak' bagi merujuk kepada lelaki dan wanita jenis kurang bermoral, 'rutrit' bagi rasa tidak selesa, 'bbulu' bagi 'berbulu', 'jilah' bagi 'cerah/terang/jelas', 'tak pina' bagi 'tak jelas', 'tok rok/tok cekat' bagi 'tak larat/letih', 'cedas' bagi laju/pantas', 'tak lapar peda' bagi 'tak pelahap'.

'Bah batu/tankedaroh/ranggoh/sumbat peda' bagi 'makan secara gelojoh', 'jjela' bagi 'pelahap', 'betok peda' bagi 'kenyang'. 'mmedda' bagi 'berak/kentut', 'olik' bagi 'mengelecek.

'Dekpon/dokpon' bagi 'kalau ya pun/kalau dah macam tu', 'kuca haya/kkaca bara' bagi 'tidak tersusun', 'kuca/kaca ganyoh' bagi 'tergesa-gesa', 'cas ligat' bagi 'cergas/cekap', 'mmuta ligat' bagi 'berpusing dengan kuat/ligat', 'selu selan/tebulas' bagi 'gelojoh/gopoh/gelabah', 'sokmo' bagi 'selalu/lazim', 'gomo' bagi 'lakukan dalam keadaan apa sekali pun'.

'Ketcuk' bagi 'terhinjut-hinjut', 'reyok' bagi 'condong', 'nnetin' bagi 'melambung', 'bbera' bagi 'terburai', 'cebok' bagi 'cedok', 'celabak' bagi 'jatuh dengan banyak,umpama buku jatuh dari atas rak', 'menonggeng nyior' bagi 'jatuh menonggeng', 'bok' bagi 'gemuk' , 'mononye' bagi 'memek muka menanggung malu dengan hidung tercengek-tercengek menahan bau yang tidak selesa', 'menganyin' bagi 'mengejek'.

Bagi buah pula, loghat Kelantan menyebut 'topoh' bagi 'epal', 'jabit/zabit' bagi buah 'anggur', 'moktan' bagi 'rambutan', 'duyan' bagi 'durian', 'macan' bagi 'bacang', 'sseto' bagi 'manggis'.

Bagi binatang, loghat Kelantan panggil 'kuba' bagi 'kerbau', 'bbiri' bagi 'kambing biri-biri/bebiri', 'aso' bagi 'angsa' , 'anyin' bagi 'anjing' manakala ikan pula disebut 'ikan ayo' bagi ikan 'tongkol' 'ikan keghone' bagi 'ikan senangi',

Untuk botol, loghat Kelantan sebut 'jebo', 'gadan/badan' bagi 'nyiru', 'gurah' bagi 'guli', 'bbidas' bagi 'lastik'. 'Bbidas' juga dirujuk kepada 'anjalan', 'sike' bagi seriau', 'serban' bagi 'kebas', 'tok leh nok ok' bagi 'tak boleh nak tahan', 'beraso/ado ra' bagi 'nak/beringinan yang tidak boleh ditahan-tahan', 'tak leh tebeng' bagi 'tak boleh tahan rasa geram'.

'Cocoh jilat' bagi 'tidak bersungguh/tidak istoqamah/tidak tetap pendiri an', Bbobe/celebe/mengepek' bagi 'membebel', 'senyat kotel' bagi 'diam membisu', 'gege' bagi 'bising/kalut','kekan' bagi 'kangkang', 'jakoh' bagi 'jangkah/langkah', 'gendo' bagi membonceng atau membawa anak kecil dengan meletak atas belakang dan berpaut pada tengkok, 'buwi' bagi 'beri', 'kelik' bagi 'balik'.

Dalam loghat Kelantan ada perkataan walaupun bunyi kasar yang boleh menjadikan tanda mesra dan boleh jadi suatu herdikkan jika penuturnya dalam keadaan marah.

Mislanya 'cis menatang ni idup lagi, bila nak mampus nyo' atau 'Cis engakau, hidup lagi rupanya, bila nak mati' yang diungkap oleh seorang rakan paling akrab terhadap rakan yang lama tidak dijumpai. Ianya adalah suatu gurauan tanda mesra.

Tetapi kalau diucapkan kepada orang yang belum dikenal, yang baru kenal atau lama kenal tetapi tidak mesra, ianya boleh robok (bengkak/pecah) muka kena gocoh dan dianggap ungkapan kurang ajar.

Bila marah akan dikata: 'cis menatang ni ' atau mu ni 'baso cis'.

Ganti nama orang pertama 'aku' dan gantinama orang kedua 'mu' bagi yang belum kenal adalah dianggap kurang sopan dan kurang ajar. Gantinama yang paling sesuai bagi 'aku' adalah 'kawe' dan 'mu' pula 'demo' kalau usia sebaya.

Kalau yang dilawan bercakap usianya lebih tua, adalah dianggap sopan kalau 'aku' diganti dengan 'ambo' atau 'kite' manakala bagi 'mu' diganti dengan 'abe' kalau ianya lelaki dan 'kakwan' kalau ianya perempuan, 'budak awe' bagi budak lelaki dan 'budak mek' bagi perempuan.

Bagi yang berketurunan 'Wan', 'Nik', 'Tuan', 'Tengku', 'Ku' atau 'Haji' adalah dianggap tahu adat dan beradat kalau 'mu' diganti dengan 'wan' bagi yang berketurunan 'Wan', 'paknik/nik' bagi yang berketurunan 'Nik', 'ku' bagi yang berkerurunan 'Tengku/Ku', 'tuan' bagi yang berketurunan 'Tuan' dan 'aji' bagi yang sudah naik haji.

Bagi bagi ganti nama 'aku' bila bercakap dengan yang berketurunan Wan dan Tuan dan dengan yang sudah naik haji ialah 'ambo' manakala bagi dengan yang berketurunan Nik, Tengku dan Ku menggunakan 'tteku' dan dianggap lebih beradat dan tahun adat kalau gantinama 'aku' diganti dengan 'patik' bila bercakap dengan dengan mereka yang beketurunan Tengku atau Ku, lebih-lebih lagi kalau yang masih lagi pada label kerabat begelar.

Dalam pada itu loghat Kelntan sendiri ada perbezaan sebutan antara daerah-daerah tertentu. Ada sesetengah daerah sebutan bagi perkataan yang berakhir dengan 'an','am','ang' akan disebut dengan 'e' dan 'o'. Misalnya 'ike' bagi 'ikan', 'kace' bagi 'kacang', 'ude' bagi 'udang', 'tero' bagi 'terung', 'buro' bagi 'burung' yang mana sebutan keluar di hujung lidah.

Sebutan jenis ini menjadi bunyi sebutan bagi penduduk jajahan Kota Bharu, paling khusus di sekitar Kampung Beta, Kedai Piah, Kemubu dan Kubang Gendang sebelah Jajahan Pasir Mas yang dipisahkan oleh Sungai dengan kemubu.

Bagi membezakan orang asal bandar Kota Bharu atau di pinggir bandar atau yang asaldari derah-daerah lain, lazimnya orang bandar asal akan jawab 'periksa eh' bagi jawapan kepada 'tidak tahu' terhadap apa yang ditanya.

Manakala ada pula penduduk setengah kawasan/daerah akan akhirkan sebutan dengan 'n' perkataan-perkataan yang berakhir dengan 'an', 'am', 'ang' manakala yang berakhir dengan 'n' bertukar 'a' .

Misalnya 'oran' bagi 'orang', 'garan' bagi 'garam', 'teghun' bagi 'terung', 'denga' bagi 'dengan'. Sebutan jenis ini menjadi sebutan bagi mereka di Jajahan Pasir Mas dengan sebutan keluar dari lelangit dan huru 'r' akan berbunyi 'gh' atau 'ra' bertukar jadi 'ghing'.

Di samping itu ada juga penutur di sesetengah kawasan menyebut sesuatu perkataan yang berakhir dengan 'an' dan 'am' degnan 'ng', seakan loghat Terengganu. Misalnya 'garang' bagi 'garam', 'ikang' bagi 'ikan', 'dalang' bagi 'dalam'.

Sebutan jenis ini menjadi sebutan sebahagian dari penduduk di Jajahan Pasir Putih, Kampung Rasal (Tok Uban, Pasir Mas) dan penduduk asal di Kawasan Selatan Kelantan terutama yang bersempadan dengan Pahang.

Dalam pada itu kebanyakan dalam loghat Kelantan akan hilang huruf 'h' dalam sesuatu perkataan dan' huruf 'r' akan betukar 'w'. Misalnya 'taun' bagi 'tahun', 'tau' bagi 'tahun', 'buwi' bagi 'beri' manakala perkataan yang berakhir dengan 'a' betukar dengan huruf 'o'.

Misalnya 'muko' bagi 'muka','suko' bagi 'suka', 'ngango' bagi 'nganga', 'buto' bagi', buta','kero' bagi 'kera', 'kereto' bagi 'kereta', 'jalo' bagi 'jala' dan sebagainya.

Yang jelas loghat Kelantan ada keramatnya kerana walaupun di mana orang Kelantan berada, mereka akan mesra dan semangat kedaerahan bagi orang Kelantan sangat tebal.

Kalau berjumpa di Kuala Lumpur, malah di London atau di mana-mana sahaja, orang Kelantan akan cepat dapat mengesan asal usul rakan senegeri melalui loghatnya dan mereka akan cepat mesra.

Biar pun semasa di negeri sendiri mungkin seseorang itu berbalah atau antara satu kampung dengan satu kampung orangnya saling bagi 'penampar tawar' antara satu sama lain, tetapi bila di luar Kelantan dan didapati rakan senegeri berbalah, mereka akan berpihak kepada orang senegeri.

Monday, July 22, 2013

INTRODUCTION OF KELANTANESE








Sejarah Kelantan



Negeri Kelantan yang mempunyai seni budaya tradisional yang unik ini juga mempunyai sejarah persinggahsanaan yang menarik. Diriwayatkan dalam tahun 1411M (814H) di Kelantan, terdapat seorang Raja yang beragama Islam bernama Raja Kumar. Tetapi sehingga kini ahli-ahli sejarah masih belum dapat mengesani daripada manakah asalnya Raja Kumar ini. Walau bagaimanapun baginda Raja Kumar telah menjalinkan hubungan muhibbah dengan Maharaja China, dan sebaliknya dalam tahun 1412M, baginda Raja Kumar telah menerima persembahan balas berupa kain-kain sutera dan surat kepujian daripada Maharaja China itu.

Selepas pemerintahan Raja Kumar lahir pula pemerintahan Sultan Iskandar sehingga 1465M. Kemudian Kelantan diperintah pula oleh Putera Baginda Sultan Mansur. Dalam zaman pemerintahan Sultan Mansur, nama Kelantan telah menjadi masyhur sehingga ke negeri Melaka di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Shah. Pada 1477M, Sultan Melaka ini telah menghantar bala tenteranya untuk menyerang Kelantan. Walau bagaimanapun ia berakhir dengan satu simpulan peristiwa yang menarik, iaitu baginda Sultan Mahmud Shah telah berkahwin dengan Puteri Sultan Mansur yang bernama Onang Kening, yang kemudian menjadi bonda kepada Raja Perak yang pertama, iaitu Sultan Muzaffar Shah (1528M).

Apabila Sultan Mansur Shah mangkat 1526M (928H), maka putera baginda, Raja Gombak ditabalkan menjadi Sultan dengan gelaran "Sultan Gombak". Setelah baginda Raja Gombak mangkat, maka cucunda baginda yang telah dijadikan putera angkat, iaitu Raja Ahmad, ditabal menjadi Sultan Kelantan pada 1584M (992H). Dengan gelaran Sultan Ahmad, Baginda telah berkahwin dengan Cik Banun Puteri Seri Nara DiRaja, iaitu sepupu kepada Raja Hussein di sebelah isteri Lela Wangsa Pahang. Baginda berdua telah dikurniakan seorang puteri dinamakan Cik Siti Wan Kembang.

Baginda Sultan Ahmad mangkat pada 1589M, sewaktu puteri baginda Cik Siti Wan Kembang berusia 4 tahun, dan oleh sebab itu Raja Hussein dari Johor telah dilantik menjadi Pemangku Raja Pemerintah Kelantan. Bila Raja Hussein mangkat pada 1610M (1018H), maka Cik Wan Kembang ditabalkam menjadi Permaisuri Kelantan. Baginda bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan, kira-kira 40 kilometer ke arah tenggara Kuala Krai.

Pemerintahan Cik Siti Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa menjadi terkenal menyebabkan banyak dikunjungi oleh pedagang-pedagang dari dalam dan luar negeri termasuk juga orang-orang Arab yang mengelarkan Cik Wan kembang dengan panggilan "Paduka Cik Siti". Baginda mempunyai seekor kijang yang kemudiannya menjadi lambang kebesaran negeri Kelantan.

Semasa dalam pemerintahan Cik Siti Wan Kembang, telah timbul sebuah lagi kerajaan berpusat di Jembal, di bawah pemerintahan Raja Sakti 1638M (1046H). Setelah baginda mangkat, maka putera baginda, Raja Loyor telah ditabal menjadi Sultan pada 1649M (1059H). Baginda dianugerahkan dengan dua orang cahaya mata iaitu seorang putera, Raja Sakti yang mangkat sejak kecil lagi dan seorang puteri bernama Puteri Saadong.

Hubungan baik telah terjalin di antara Kerajaan Cik Siti Wan Kembang dengan Kerajaan Loyor di Jembal. Baginda mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat yang akan mewarisi takhta kerajaan sepeninggalannya nanti.

Puteri Saadong seorang gadis ayu yang cantik dan jelita, digelar oleh penduduk Gunung Chinta Wangsa sebagai Puteri Wijaya Mala. Perihal kecantikan Puteri Saadong itu telah sampai kepada Maharaja Siam yang menghantar utusan untuk meminang Puteri Saadong, tetapi ditolak. Puteri Saadong telah dikahwinkan dengan Raja Abdullah iaitu sepupunya, dan telah dimahkotakan di Kota Tegayong (Tanah Serendah Sekebun Bunga Cherang Tegayong) dan kemudiannya dipindahkan ke Kota Jelasin di Kota Mahligai.

Puteri Saadong telah diculik oleh Penglima Tentera Siam bernama Phraya Decho dan dibawa kepada Narai Maharaja Siam (1656-1688), kerana kesetiaannya pada suami baginda tidak boleh disentuh oleh Maharaja Siam. Setelah Puteri Saadong kembali ke Kelantan telah berlaku pergaduhan dengan Raja Abdullah. Akibat pergaduhan itu Raja Abdullah terkorban kerana kena tikaman cucuk sanggul Puteri Saadong.

Selepas kemangkatan Raja Abdullah, Puteri Saadong telah melantik Raja Abdul Rahim iaitu saudara raja Abdullah menjadi Sultan di Kota Mahligai pada 1671M (1082H) dan dikahwinkan dengan janda Raja Abdullah, anak Penghulu Ngah Jembal. Selepas itu Puteri Saadong menjadi Raja di Bukit Marak dan sejak itu kisahnya tidak dapat dikesan lagi.

Kemudian, Raja Abdul Rahim telah mangkat ditikam oleh rakyatnya di tepi Tasek Lelayang Mandi. Dengan itu putuslah sejarah "kerajaan mahligai" dan wujud pula Kerajaan Jembal yang pada waktu itu terletak dibawah pemerintahan Raja Omar yang bergelar Sultan Omar pada 1675M (1086H).

Raja Omar adalah adinda kepada Raja Loyor yang sebelum itu telah bergelar Temenggong Sultan Omar mempunyai lima orang putera dan puteri, iaitu Raja Kecil Sulung, Raja Ngah yang bergelar Raja Hudang, Raja Nah, Raja Sakti dan Raja Pah. Setelah Raja Omar mangkat pada 1721M (1132H), Baginda Long Bahar telah ditabal menjadi Sultan di Jembal atas kehendak puteri sulungnya, Raja Kecil Sulung. Baginda Long Bahar adalah putera Raja Petani (Wan Daim) yang bergelar Datuk Pengkalan Tua yang berhijrah ke Kelantan bersama ayahndanya dan berkahwin dengan Raja Pah Puteri Sultan Omar dan memerintah di Sening dekat Jembal.

Long Sulaiman (Wan Anom Long Nik) anak Long Bahar dengan Raja Perempuan Patani bergelar Mas Kelantan mempunyai seorang putera bernama Long Yunus dan dua orang puteri, iaitu Tuan Dewi dan Tuan Kembang yang berkahwin dengan Long Deraman putera Tuan Senik Getting yang memerintah di Legeh. Pada 1756M (1169H) telah berlaku serangan untuk merebut takhta dan akhirnya telah membawa kemangkatan Long Sulaiman. Berikutnya Long Pendak, sepupu Long Sulaiman telah dilantik menjadi Raja Kubang Labu, dan adiknya pula Long Muhammad dilantik menjadi Raja Muda.Kemudiannya pada 1758M, Long Pendak telah mangkat di tangan Long Deraman kerana membalas dendam terhadap perbuatan Long Pendak membunuh isterinya Tengku Tengah iaitu adik Long Deraman. Selepas itu Long Muhamad dilantik menjadi Sultan di Kota Kubang Labu. Dalam masa pemerintahan Long Muhammad telah meletuskan peperangan antara pihak Long Muhammad yang dibantu oleh Long Deraman dengan Long Gaffar, putera kepada Raja Reman di Hulu Perak. Dalam peperangan pada 1762M, Long Muhammad dan Long Deraman telah tumpas dan Kerajaan Kubang Labu telah dapat dikuasai oleh Long Yunus. bagi mengenang jasa Long Gaffar yang membantunya dalam peperangan itu, maka baginda Long Yunus telah melantik Long Gaffar menjadi Perdana Menteri memerintah dari kawasan Jeram sampai ke Pasir Tumbuh. Baginda Long Yunus telah berjaya menyatukan seluruh pemerintahan negeri Kelantan yang banyak itu dengan meletakkannya dibawah satu pemerintahan pusat sahaja.